Friday 10 April 2015

SPIRITUAL READING - DR RAGHIB AS-SIRJANI


Judul: Spiritual Reading

Penulis: Dr Raghib As-Sirjani

Penerbit: Aqwam

Tahun terbit: 2007

Halaman: 207

Harga: RM 17.80



Buku Spiritual Reading atau Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca ini ditulis sebagai sebuah usaha penulis untuk menyampaikan dan memaparkan hakikat membaca, kepentingannya, adab-adab membaca yang efektif, contoh buku-buku yang wajib kita baca, perihal golongan salafus soleh yang mengamalkan perintah Allah swt dalam kehidupan menerusi perkataan 'Iqra' iaitu 'Bacalah' dan tip-tip bagaimana kita boleh menguasai apa yang kita baca serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan membaca.

Pada hakikatnya, perintah untuk membaca ini dikhususkan kepada setiap individu manusia. Membaca, menurut Khalifah Al-Makmun, merupakan temasya dan cabaran menelusuri akal fikiran para tokoh dan pahlawan. Selain itu, membaca adalah sebuah pengalaman dan eksperimen yang sangat menyenangkan. Hal ini merupakan kegiatan yang tidak diketepikan oleh sesiapa sahaja yang telah tersihir oleh buku-buku dan mereka sangat asyik dan tekun dengan membaca berbagai karangan  dan tulisan. Membaca sudah menjadi makanan jiwa dan mereka sanggup bersengkang mata untuk terus dapat menyudahkan bacaan buku dan kitab yang sedang mereka hadami itu. 

Ada orang apabila ditanya tentang hobi mereka, ada yang menjawab hobi mereka adalah membaca. Jika dikatakan membaca itu adalah satu hobi, maka bagaimana kita ingin merealisasikan perintah Allah swt yang bermaksud 'Baca' sedangkan kita ada pilihan samada untuk membaca atau tidak. Membaca dengan tujuan untuk menuntut ilmu ini adalah satu keperluan hidup. Sama juga seperti keadaan jasmani yang memerlukan makanan dan minuman untuk meneruskan kehidupan. Membaca dan menuntut ilmu juga adalah merupakan makanan rohani untuk keperluan jiwa.

Walaupun buku ini terbitan tahun 2007, namun sebuah buku yang berisi dengan persoalan buku dan baca masih relevan untuk dibaca kerana persoalan tentang buku dan membaca sentiasa menjadi topik yang 'evergreen' dari dulu, kini dan selamanya.






1 comment: