Saturday 11 April 2015

KUASA IQRA - ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Judul: Kuasa Iqra

Penulis: Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Penerbit: PTS Islamika

Tahun terbit: 2012

Halaman: 136

Harga: RM 12.00



" Sesiapa yang ketika membeli buku, tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli benda lain, atau tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak akan bermanfaat, sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku.

Sepertimana seorang Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya. Hingga ia berharap memperolehi ilmu seperti halnya orang Arab tadi mengharapkan kudanya."

- Al-Jahiz, ulama dan pakar ilmu zoologi pertama dalam Islam -


Dalam buku ini pembaca dihidangkan dengan: 

- Faedah dan cara pembacaan berkesan
- Tip-tip dan galakan minat membaca
- Sejarah tokoh yang suka membaca
- Cara dan minat Ulama dalam membaca
- Mutiara ulama berkenaan membaca dan menuntut ilmu
- Teknik dan kemahiran membaca berkesan
- Sumber rujukan ilmu-ilmu Islam
- Senarai perpustakaan terkenal di serata dunia

'IQRA' bermaksud 'BACALAH'. Ayat ini adalah ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah dari surah Al-Alaq. Sebagai umat Islam, wajarlah kita yang lebih mengetahui akan seruan Allah SWT ini. Membaca dengan maksud memahami, mengamalkan dan menyebarkan. Umat Islam zaman ini lemah akibat dari kurang membaca dan mengkaji. Kita kekurangan ilmu sedangkan pada zaman kegemilangan dahulu terdapat ramai cendekiawan Islam yang telah mempelopori pelbagai bidang. Jika pembaca pernah membaca sejarah tentang keagungan kerajaan pemerintahan Islam dahulu, tentulah pembaca akan merasa begitu terkilan dan sedih jika dibandingkan kekuatan ilmu diantara umat Islam dahulu dan sekarang.

Wajar dikatakan, buku ini wajib dimiliki oleh semua golongan pembaca. Tidak kira siapa pun kita, membaca adalah tanggungjawab kita bersama. Aktiviti membaca bukan hak milik mutlak golongan profesional mahupun pelajar tetapi ianya adalah riadah buat kita semua. Selain dapat memperluas pandangan, memperbanyak idea dan menjadikan diri kita bijak, membaca juga adalah perintah dari Allah swt kepada sekalian hambaNya.

Buku ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai booster buat pencinta buku agar terus beristiqamah dalam membaca. Manusia membaca disebabkan berbagai-bagai tujuan. Ada yang membaca untuk lulus dan mendapat markah tinggi di dalam peperiksaan, ada yang membaca untuk mencari idea di dalam penulisan, ada yang membaca untuk mengumpul koleksi buku, ada yang membaca untuk mencari kepuasan dan sebagainya. Apa-apa pun alasan mengapa manusia suka membaca, tujuan utamanya tetap sama iaitu manusia membaca untuk mencari tahu bagi mengumpul maklumat kerana dengan banyak membaca, masih banyak perkara yang manusia tidak tahu dan perlu mencari tahu.

Buku Kuasa Iqra ini mengandungi panduan kepada pembaca yang baru berjinak-jinak untuk menyemai perasaan cintakan membaca. Walaupun buku ini agak nipis tetapi isinya sangat bermanfaat buat pencinta-pencinta buku yang masih mencari ilmu dan teknik-teknik tentang pembacaan genre buku yang perlu diutamakan dalam senarai pembacaan.







No comments:

Post a Comment