Monday 13 April 2015

ADA APA DENGAN BUKU - SHAHAROM TM SULAIMAN, SURIATI SHAMSUDDIN


Judul: Ada Apa Dengan Buku

Penulis: Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin

Penerbit: Utusan Publications

Tahun terbit: 2004

Halaman: 275

Harga: RM 19.00



Pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid, dikhabarkan khalifah telah mengutus seorang pesuruhnya menjemput seorang ulama untuk "beramah-tamah" pada malam hari. Setibanya pesuruh itu di rumah ulama tersebut, pesuruh itu mendapati ulama tersebut sedang menelaah buku-buku yang berselerakan di sekitarnya. Berkatalah pesuruh itu kepada ulama, "Paduka Amirul Mukminin memanggil tuan." Ulama itu menjawab, "Saya sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan alim ulama dan orang pintar. Setelah selesai nanti saya datang." Oleh itu, disampaikanlah pesuruh itu jawapan ulama itu kepada sang khalifah. Khalifah lalu bertanya, "Siapakah gerangan alim ulama dan orang pintar itu?" Pesuruh menjawab, "Sebetulnya saya sendiri tidak melihat seorang jua pun dekatnya." "Kalau demikian panggillah dia, suruh dia datang sekarang bagaimana pun jua!" Perintah khalifah. Setelah ulama itu datang, bertanyalah khalifah, "Siapakah orang pintar yang sedang bercakap-cakap dengan tuan?" Ulama itu menjawab:

"Mereka ialah teman yang tidak bosan-bosannya kita mendengar pembicaraannya. Setia, dapat dipercayai mahupun di balik pembelakangan atau sedang berhadap-hadapan. Apabila kita bersendirian dengan mereka, adalah sebaik-baik katanya menjadi. Penawan hati untuk melenyapkan duka nestapa dan amat menolongku. Mereka jelaskan kepada kita peristiwa yang telah berlalu, mereka cerdaskan akal kita, haluskan pekerti kita dan meninggikan pendapat dan buah fikiran kita. Tidak akan timbul syak wasangka dalam angan-angan kita, ataupun kebimbangan akan perlakuan yang tidak senonoh, atau umpat dan cela, atau perbuatan yang tidak baik. Kalau anda menamakan mereka orang yang telah mati anda tidak akan salah, atau anda menamakan mereka orang yang masih hidup pun anda betul juga." (Shaharom TM Sulaiman, 2003)

Mendengar jawapan itu, mengertilah khalifah yang dimaksudkan dengan orang-orang pintar itu ialah "buku". Oleh itu, tidaklah khalifah marah atas kelambatan ulama itu. 

Al-Jahiz, seorang penjual roti yang cukup mencintai buku dan akhirnya beliau menjadi seorang sasterawan tersohor. Beliau pernah berkata:

"Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau menghendakinya berbicara. Ia tidak mengganggu kalau engkau sedang bekerja, tetapi apabila engkau berasa kesepian ia akan menjadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah kepadanya dan juga tidak akan berkecil hati. Ia ialah teman yang tidak menipu atau bermuka dua." (Shaharom TM Sulaiman, 2002)

Sementara itu, seorang ahli sufi klasik Islam tersohor, Ibnu Arabi pernah menceritakan ungkapan seorang ulama tentang buku:

"Belum pernah kulihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju, atau taman bunga yang dapat dibawa di pangkuan. Ia dapat mengisahkan tentang orang yang telah meninggal, dan berbicara tentang orang yang masih hidup. Di manakah akan tuan peroleh seorang teman yang belum tidur hanyalah dikala tuan tidur. Apa yang disebutnya hanyalah yang tuan sukai. Ia lebih pandai menyimpan rahsia tuan daripada tuan sendiri. Ia ialah tetangga yang lebih setia kepada tetangganya, teman yang paling jujur, guru yang paling ramah, dan kawan yang paling jauh daripada jemu dan bosan." (Shaharom TM Sulaiman, 2002)

Sekelumit kisah yang dizahirkan di atas, hanyalah serentetan kisah menarik yang terdapat dalam tradisi perbukuan Islam silam, yang cukup memotivasikan kita dengan keunikan buku dan "dunianya" yang mengasyikkan. Dunia buku memang unik, mengasyikkan dan memikat sehingga kita dibuai keceriaan, kesedihan, kegembiraan, bahkan kadangkala kita "menangis" bersamanya sehingga tanpa disedari kita "tenggelam" dalam keasyikan tanpa menyedari waktu terus berjalan. 

Begitulah nikmat "menghadirkan diri" dalam dunia buku. Rasanya, buku dan dunianya benar-benar mengajar kita menghargai masa dan jangan "membunuh" waktu begitu sahaja.




Sunday 12 April 2015

BUKU KEKASIH - SHAHAROM TM SULAIMAN


Judul: Buku Kekasih

Penulis: Shaharom TM Sulaiman

Penerbit: Utusan Publications

Tahun terbit: 2004

Halaman: 333

Harga: RM 19.00



Pelbagai ragam manusia di sana sini turut mempengaruhi pelbagai objek dalam dunia ini. Selaku makhluk yang bernyawa maka segala hal dan kerenah merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitulah juga buku, ia "bernyawa" dan memberi manfaat jika kita mahu mengambil pengajaran daripadanya. Kita merasakan bahawa buku sebagai bernyawa apabila kita berada dalam keadaan kritikal; saat menjelang peperiksaan, memerlukan maklumat tertentu dengan kadar yang segera, membantu kemajuan kerjaya dan segala macam keperluan lagi. Begitulah layanan kita terhadap buku.

Sesuatu yang pasti buku memberi pengaruh besar kepada kehidupan kita. Apa tidaknya, kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, menangis, marah, membangkitkan semangat motivasi diri, bahkan memperkaya "spiritual" kita. Itulah pengaruh buku. Kita mudah "tenggelam" dalam keasyikan melayani buku dalam dunia yang tersendiri. Cendekiawan Arab dahulu kala pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia yang terbaik. Ia tidak pernah mengecewakan kita. Walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya, ia tetap di situ, bersedia untuk berkhidmat kepada kita.

Buku ini merupakan penghargaan penulis kepada "dunia buku" yang telah "mendewasakan" minda penulis sehinggakan penulis tidak dapat membayangkan betapa sepi hidup ini tanpanya. Buku ibarat teman yang bernyawa kepada penulis. Penulis tidak pernah kecewa ketika bersamanya. Dengan manusia kita sering kecewa, lalu kekecewaan itu dikembalikan kepada buku. Dan, ia seolah-olah mengerti; bersedia memberi harapan, membangkitkan kembali semangat penulis yang kadang-kadang hilang.

Ada daripada kalangan teman yang mengatakan bahawa penulis terlalu ekstrem apabila bersama buku bahkan ada yang menyifatkan terlalu sayangkan buku daripada isteri. Tanpa mempedulikan mereka, penulis tidak berganjak, kerana tiada orang yang mengerti nikmat tersendiri yang dilalui oleh penulis. Dan, penulis sendiri tidak mampu mengungkap nikmatnya kepada orang lain. Lalu, buku ini ditulis untuk sekadar berkongsi pengalaman tentang kepelbagaian ragamnya sama ada kesannya kepada emosi dan minda melalui pembacaan karya tokoh-tokoh tertentu, bahkan kekaguman kepada proses kepengarangan mereka. Namun, kesemuanya tetap memberi kesan ke atas pembinaan minda dan tradisi intelektual, sama ada kepada individu, bangsa mahupun negara.







BACA DAN MINDA




Tahukah anda?. Minda yang selalu digunakan untuk membaca akan lebih cerdas dan pintar. Tanggapan salah mengenai membaca, semakin banyak membaca dan belajar, otak atau minda seseorang akan serabut lalu menjadi stress. Kenyataan ini amat dangkal. Kebenarannya ialah semakin kita banyak membaca dan belajar, sebenarnya kita telah mengaktifkan atau menghidupkan sel-sel neuron di dalam otak.

Mengikut kajian saintifik, otak kita mempunyai 10 bilion sel neuron dan setiap sel ini disambungkan dengan sinaps yang jumlahnya dianggarkan sebanyak 10 trilion. Semakin banyak kita membaca dan belajar, maka semakin cerdas otak kita kerana keaktifan sel-sel tersebut. Tetapi jika kita tidak mengggunakan otak untuk berfikir secara maksima, maka otak kita akan diam ( tidak aktif ), pengsan dan lebih buruk lagi akan lupa atau nyanyuk.

Oleh itu, cara mudah untuk mencetus sinaps bagi menghidupkan sel-sel neuron ialah dengan mengamalkan membaca dalam rutin harian. Contohnya, apabila kita membaca, otak akan bekerja untuk memahami dan berusaha untuk menyimpan data di dalam kotak memori agar kita ingat apa yang dibaca. Tetapi jika kita tidak berusaha untuk mengarahkan otak untuk mengingat, boleh jadi apa yang kita baca itu akan lupus dari ingatan. Contohnya seperti kita menghafal sesuatu ayat, fakta atau formula, kita berusaha bersungguh-sungguh sambil memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap apa yang ingin kita hafal dan keputusannya kita berjaya menghafal ayat-ayat tersebut. Itu tandanya, tanpa kita sedari kita telah mengarahkan otak untuk menyimpan data di dalam kotak memori.

Orang yang selalu membaca, biasanya mereka tidak perlukan bacaan ulangan untuk menjadikan mereka ingat akan isi bacaan tersebut. Ini kerana, sinaps yang ada di dalam otak mereka sudah sedia tercetus dan mempercepatkan lagi sel-sel neuron untuk aktif dan berfungsi dengan baik. Berbanding dengan orang yang kurang membaca, mereka perlukan ulangan beberapa kali untuk mengingat fakta atau isi bacaan tersebut.



Saturday 11 April 2015

ADAKAH ANDA ULAT BUKU?



Anda akan dilabelkan sebagai ulat buku atau pencinta buku jika anda mempunyai ciri-ciri seperti di bawah:

1. Suka membaca dan membeli buku.

2. Mempunyai koleksi buku-buku peribadi.

3. Setiap kali ada wang atau gajian, akan terus menuju ke kedai buku terlebih dahulu.

4. Kerap membeli buku walaupun buku lama yang baru dibeli belum habis dibaca.

5. Teruja jika ada potongan harga yang ditawarkan di kedai-kedai buku.

6. Membuat persiapan awal untuk menghadiri pesta-pesta buku yang akan berlangsung.

7. Sangat sayang pada buku dan kedekut jika ada orang yang ingin meminjamnya.

8. Kemana-mana saja sentiasa berkepit dengan buku.

9. Disetiap sudut rumah akan kelihatan longgokan buku-buku.

10. Tidak kedekut untuk membeli buku walaupun sebuah buku itu berharga ratusan ringgit.

11. Tidak hiraukan aktiviti lain, hanya beraktiviti dengan buku-buku saja.

12. Sering lewatkan masa tidur dan rela bersengkang mata untuk menghabiskan bacaan.

13. Membaca buku yang sama berulang-ulang.

14. Dimana-mana saja, hati dan pandangan selalu tertumpu kepada buku.

15. Lupa makan, jika sedang kusyuk membaca.

16. Bersedia mengeluarkan wang untuk membeli dan menyediakan rak-rak untuk penyimpanan buku.

17. Banyak habiskan masa di kedai-kedai buku dan perpustakaan.

18. Tidak suka bersosial kerana masa lebih berharga untuk meneruskan bacaan buku.

19. Tidur dan baring dengan buku.

20. Menangis dan kesal jika buku hilang atau rosak dimakan anai-anai.

21. Ingat atau hafal tajuk dan isi kandungan sesebuah buku.

22. Apabila bersama buku, hati menjadi tenang dan kesedihan menjadi sifar.

23. Sakit hati jika melihat orang lain tidak menghargai buku.

24. Sentiasa bersemangat untuk menyudahkan dan memulakan bacaan sesebuah buku.

25. Membaca buku dengan ruh hingga mempengaruhi emosi.

26. Longgokan buku-buku menjadi terapi minda.

27. Sering bercakap, ketawa, bersedih dan menangis kesan dari pembacaan sesebuah buku.

28. Sanggup bersusah payah untuk mendapatkan buku-buku yang sukar ditemui.

29. Tamak dalam membaca buku. Dalam masa yang sama membaca 5 buku sekaligus.

30. Jika berjumpa dengan kawan-kawan yang ada minat yang sama, topik buku akan sentiasa menjadi topik utama.

31. Cemburu jika melihat ditangan orang lain ada buku, sedangkan ditangan sendiri tidak memegang buku.

32. Memenuhi ruang dan dinding rumah dengan susunan buku-buku.

33. Mempunyai impian untuk membuka kedai buku dan memasarkan buku-buku hasil karya sendiri di kedai buku tersebut.

34. Bersemangat mempengaruhi orang lain untuk sama-sama menjiwai kehidupan sebagai ulat buku.

35. Menyimpan banyak penanda buku sebagai koleksi.

36. Suka menghidu bauan kertas pada helaian buku-buku baru yang terdapat di kedai-kedai buku.

37. Sangat prihatin dengan kesalahan ejaan, tulisan, muka surat dan cetakan pada sesebuah buku.

38. Tidak banyak bercakap, suka mendengar dan selalu menganalisa setiap apa yang orang lain katakan. Ini kerana fikiran sedang menerawang mencari kemiripan dengan apa yang pernah dibaca.

39. Sesekali bercakap, kata-kata yang dituturkan ibarat mutiara yang sangat bernilai harganya dan terpancar cahaya ilmu diwajah.

40. Koleksi buku menjadi perhiasan utama di rumah hingga menimbulkan kekaguman kepada setiap tetamu yang bertandang.





KUASA IQRA - ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Judul: Kuasa Iqra

Penulis: Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Penerbit: PTS Islamika

Tahun terbit: 2012

Halaman: 136

Harga: RM 12.00



" Sesiapa yang ketika membeli buku, tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli benda lain, atau tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak akan bermanfaat, sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku.

Sepertimana seorang Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya. Hingga ia berharap memperolehi ilmu seperti halnya orang Arab tadi mengharapkan kudanya."

- Al-Jahiz, ulama dan pakar ilmu zoologi pertama dalam Islam -


Dalam buku ini pembaca dihidangkan dengan: 

- Faedah dan cara pembacaan berkesan
- Tip-tip dan galakan minat membaca
- Sejarah tokoh yang suka membaca
- Cara dan minat Ulama dalam membaca
- Mutiara ulama berkenaan membaca dan menuntut ilmu
- Teknik dan kemahiran membaca berkesan
- Sumber rujukan ilmu-ilmu Islam
- Senarai perpustakaan terkenal di serata dunia

'IQRA' bermaksud 'BACALAH'. Ayat ini adalah ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah dari surah Al-Alaq. Sebagai umat Islam, wajarlah kita yang lebih mengetahui akan seruan Allah SWT ini. Membaca dengan maksud memahami, mengamalkan dan menyebarkan. Umat Islam zaman ini lemah akibat dari kurang membaca dan mengkaji. Kita kekurangan ilmu sedangkan pada zaman kegemilangan dahulu terdapat ramai cendekiawan Islam yang telah mempelopori pelbagai bidang. Jika pembaca pernah membaca sejarah tentang keagungan kerajaan pemerintahan Islam dahulu, tentulah pembaca akan merasa begitu terkilan dan sedih jika dibandingkan kekuatan ilmu diantara umat Islam dahulu dan sekarang.

Wajar dikatakan, buku ini wajib dimiliki oleh semua golongan pembaca. Tidak kira siapa pun kita, membaca adalah tanggungjawab kita bersama. Aktiviti membaca bukan hak milik mutlak golongan profesional mahupun pelajar tetapi ianya adalah riadah buat kita semua. Selain dapat memperluas pandangan, memperbanyak idea dan menjadikan diri kita bijak, membaca juga adalah perintah dari Allah swt kepada sekalian hambaNya.

Buku ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai booster buat pencinta buku agar terus beristiqamah dalam membaca. Manusia membaca disebabkan berbagai-bagai tujuan. Ada yang membaca untuk lulus dan mendapat markah tinggi di dalam peperiksaan, ada yang membaca untuk mencari idea di dalam penulisan, ada yang membaca untuk mengumpul koleksi buku, ada yang membaca untuk mencari kepuasan dan sebagainya. Apa-apa pun alasan mengapa manusia suka membaca, tujuan utamanya tetap sama iaitu manusia membaca untuk mencari tahu bagi mengumpul maklumat kerana dengan banyak membaca, masih banyak perkara yang manusia tidak tahu dan perlu mencari tahu.

Buku Kuasa Iqra ini mengandungi panduan kepada pembaca yang baru berjinak-jinak untuk menyemai perasaan cintakan membaca. Walaupun buku ini agak nipis tetapi isinya sangat bermanfaat buat pencinta-pencinta buku yang masih mencari ilmu dan teknik-teknik tentang pembacaan genre buku yang perlu diutamakan dalam senarai pembacaan.







Friday 10 April 2015

SPIRITUAL READING - DR RAGHIB AS-SIRJANI


Judul: Spiritual Reading

Penulis: Dr Raghib As-Sirjani

Penerbit: Aqwam

Tahun terbit: 2007

Halaman: 207

Harga: RM 17.80



Buku Spiritual Reading atau Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca ini ditulis sebagai sebuah usaha penulis untuk menyampaikan dan memaparkan hakikat membaca, kepentingannya, adab-adab membaca yang efektif, contoh buku-buku yang wajib kita baca, perihal golongan salafus soleh yang mengamalkan perintah Allah swt dalam kehidupan menerusi perkataan 'Iqra' iaitu 'Bacalah' dan tip-tip bagaimana kita boleh menguasai apa yang kita baca serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan membaca.

Pada hakikatnya, perintah untuk membaca ini dikhususkan kepada setiap individu manusia. Membaca, menurut Khalifah Al-Makmun, merupakan temasya dan cabaran menelusuri akal fikiran para tokoh dan pahlawan. Selain itu, membaca adalah sebuah pengalaman dan eksperimen yang sangat menyenangkan. Hal ini merupakan kegiatan yang tidak diketepikan oleh sesiapa sahaja yang telah tersihir oleh buku-buku dan mereka sangat asyik dan tekun dengan membaca berbagai karangan  dan tulisan. Membaca sudah menjadi makanan jiwa dan mereka sanggup bersengkang mata untuk terus dapat menyudahkan bacaan buku dan kitab yang sedang mereka hadami itu. 

Ada orang apabila ditanya tentang hobi mereka, ada yang menjawab hobi mereka adalah membaca. Jika dikatakan membaca itu adalah satu hobi, maka bagaimana kita ingin merealisasikan perintah Allah swt yang bermaksud 'Baca' sedangkan kita ada pilihan samada untuk membaca atau tidak. Membaca dengan tujuan untuk menuntut ilmu ini adalah satu keperluan hidup. Sama juga seperti keadaan jasmani yang memerlukan makanan dan minuman untuk meneruskan kehidupan. Membaca dan menuntut ilmu juga adalah merupakan makanan rohani untuk keperluan jiwa.

Walaupun buku ini terbitan tahun 2007, namun sebuah buku yang berisi dengan persoalan buku dan baca masih relevan untuk dibaca kerana persoalan tentang buku dan membaca sentiasa menjadi topik yang 'evergreen' dari dulu, kini dan selamanya.






AKU, BUKU DAN CINTA - DR 'AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI


Judul: Aku, Buku dan Cinta

Penulis: Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni

Penerbit: Al-Hidayah

Tahun terbit: 2009

Halaman: 282

Harga: RM 17.00



Ibn 'Aqil menceritakan tentang dirinya: "Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak kitab. Aku rela tidak makan roti dan hanya makan manisan dengan secawan air, kerana jika aku makan roti, maka banyaklah masaku yang terbuang."

Sayangnya pada masa sekarang ini, masyarakat kita nampaknya lebih gemar sibuk mengurus hartanya daripada ilmu. Jangankan satu hari, satu jam pun rasanya berat bagi mereka untuk meluangkan waktu menuntut ilmu. Pada zaman sekarang, seseorang akan lebih dihormati ketika dia mempunyai banyak harta benda. Ini merupakan keadaan yang membuatkan muka kita berkerut sedih.

Masyarakat kita lebih gemar mempunyai koleksi barangan berjenama berbanding membeli dan menyimpan buku di rumah. Mereka juga sangat kedekut untuk mengeluarkan wang bagi membeli buku yang mengandungi ilmu. Padahal membaca itu boleh menjadikan mereka cerdik. Kita mudah meniru budaya negatif Barat seperti mengagungkan hiburan dan fesyen. Padahal budaya membaca yang dipelopori dunia Barat, langsung tidak kita endahkan. Bagaimana kita mahu menjadi bangsa yang maju jika kita sering ketinggalan di dalam semua bidang?.

Kita adalah umat IQRA' dan semestinya kita menjadi bangsa yang rajin membaca bagi meraih kejayaan dalam segala aspek kehidupan di dunia ini. Buku in menceritakan kepada anda bagaimana kisah-kisah ilmuan dan tokoh muslim memperoleh kejayaan dan menghasilkan karya-karya agung lantaran mereka rajin membaca. Dengan membaca buku ini diharapkan anda lebih terdorong dan termotivasi untuk lebih banyak membaca.