Sunday 12 April 2015

BUKU KEKASIH - SHAHAROM TM SULAIMAN


Judul: Buku Kekasih

Penulis: Shaharom TM Sulaiman

Penerbit: Utusan Publications

Tahun terbit: 2004

Halaman: 333

Harga: RM 19.00



Pelbagai ragam manusia di sana sini turut mempengaruhi pelbagai objek dalam dunia ini. Selaku makhluk yang bernyawa maka segala hal dan kerenah merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitulah juga buku, ia "bernyawa" dan memberi manfaat jika kita mahu mengambil pengajaran daripadanya. Kita merasakan bahawa buku sebagai bernyawa apabila kita berada dalam keadaan kritikal; saat menjelang peperiksaan, memerlukan maklumat tertentu dengan kadar yang segera, membantu kemajuan kerjaya dan segala macam keperluan lagi. Begitulah layanan kita terhadap buku.

Sesuatu yang pasti buku memberi pengaruh besar kepada kehidupan kita. Apa tidaknya, kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, menangis, marah, membangkitkan semangat motivasi diri, bahkan memperkaya "spiritual" kita. Itulah pengaruh buku. Kita mudah "tenggelam" dalam keasyikan melayani buku dalam dunia yang tersendiri. Cendekiawan Arab dahulu kala pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia yang terbaik. Ia tidak pernah mengecewakan kita. Walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya, ia tetap di situ, bersedia untuk berkhidmat kepada kita.

Buku ini merupakan penghargaan penulis kepada "dunia buku" yang telah "mendewasakan" minda penulis sehinggakan penulis tidak dapat membayangkan betapa sepi hidup ini tanpanya. Buku ibarat teman yang bernyawa kepada penulis. Penulis tidak pernah kecewa ketika bersamanya. Dengan manusia kita sering kecewa, lalu kekecewaan itu dikembalikan kepada buku. Dan, ia seolah-olah mengerti; bersedia memberi harapan, membangkitkan kembali semangat penulis yang kadang-kadang hilang.

Ada daripada kalangan teman yang mengatakan bahawa penulis terlalu ekstrem apabila bersama buku bahkan ada yang menyifatkan terlalu sayangkan buku daripada isteri. Tanpa mempedulikan mereka, penulis tidak berganjak, kerana tiada orang yang mengerti nikmat tersendiri yang dilalui oleh penulis. Dan, penulis sendiri tidak mampu mengungkap nikmatnya kepada orang lain. Lalu, buku ini ditulis untuk sekadar berkongsi pengalaman tentang kepelbagaian ragamnya sama ada kesannya kepada emosi dan minda melalui pembacaan karya tokoh-tokoh tertentu, bahkan kekaguman kepada proses kepengarangan mereka. Namun, kesemuanya tetap memberi kesan ke atas pembinaan minda dan tradisi intelektual, sama ada kepada individu, bangsa mahupun negara.







No comments:

Post a Comment