Friday, 10 April 2015

INDAHNYA HIDUP DENGAN MEMBACA


Tahukah anda?. Minda yang selalu digunakan untuk membaca akan lebih cerdas dan pintar. Ada orang mengganggap semakin kita banyak membaca dan belajar, otak atau minda akan menjadi sarat dan runsing. Kenyataan ini ternyata salah. Kebenarannya ialah semakin kita banyak membaca dan belajar, sebenarnya kita telah mengaktifkan sel-sel neuron di dalam otak.

Mengikut kajian saintifik, otak kita mempunyai 10 bilion sel neuron dan setiap sel ini disambungkan dengan sinaps yang jumlahnya dianggarkan sebanyak 10 trilion. Semakin banyak kita membaca dan belajar, maka semakin berfungsi otak kita kerana keaktifan sel-sel tersebut. Tetapi jika kita tidak menggunakan otak untuk berfikir dan membiarkannya begitu sahaja, maka otak kita akan diam ( tidak aktif ), pengsan dan lebih buruk lagi akan menjadi lupa atau nyanyuk.

Oleh itu, cara mudah untuk mencetus sinaps dan menghidupkan sel-sel neuron ialah dengan aktiviti membaca. Contohnya di sini, apabila kita membaca, otak akan bekerja untuk memahami dan berusaha untuk menyimpan data di dalam kotak memori agar mengingat apa yang dibaca. Tetapi jika kita tidak berusaha untuk mengarahkan otak untuk mengingat, boleh jadi apa yang kita baca itu akan cepat lupus dari ingatan. Contohnya seperti kita menghafal sesuatu ayat, fakta atau formula, kita berusaha bersungguh-sungguh sambil memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap perkara yang ingin dihafal dan keputusannya kita berjaya menghafal ayat-ayat tersebut. Itu membuktikan, tanpa kita sedari kita telah mengarahkan otak untuk menyimpan data di dalam kotak memori.


Orang yang sering membaca, biasanya mereka tidak memerlukan bacaan ulangan untuk menjadikan mereka mengingat akan isi bacaan tersebut. Ini kerana sinaps yang ada di dalam otak mereka sudah sedia tercetus lalu mempercepatkan lagi sel-sel neuron untuk aktif dan berfungsi. Berbanding dengan orang yang kurang membaca, mereka perlukan ulangan beberapa kali untuk mengingat fakta atau isi bacaan tersebut.

ISTIQAMAH DALAM MEMBACA

Sebagai manusia biasa seringkali kita dilanda perasaan jemu dalam melakukan sesuatu pekerjaan rutin. Begitu juga halnya dengan membaca. Perkara ini merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh semua orang. Waima, seorang pencinta buku juga tidak terkecuali dari mengalami situasi demikian. Berbagai ragam manusia yang  boleh kita perhatikan apabila ianya berkaitan dengan buku dan membaca. Ada yang asyik membeli buku tetapi tidak dibaca, ada pula yang yang baru membaca sehelai dua muka surat buku terus berpindah ke buku yang lain, ada pula yang membaca buku secara melompat bab yang diminati sahaja dan bermacam ragam lagi yang semuanya menampakkan sikap membaca yang tidak istiqamah. Di sini disertakan beberapa tip untuk menjadikan diri kita sentiasa berisitiqamah dalam membaca:

Mengetahui Tujuan Membaca

Kita sewajarnya tahu apa tujuan kita membaca. Ada orang yang membaca untuk lulus periksa, ada yang membaca untuk menyelesaikan kajian, ada yang membaca untuk mencari maklumat, ada yang membaca sebagai hobi dan ada juga yang membaca kerana benar-benar cintakan buku dan ilmu. Matlamat membaca sebenarnya ialah untuk memperbanyak pengetahuan, memperluas cara berfikir dan pembuka jalan untuk menggali segala cabang ilmu. Walau apa pun tujuan kita membaca, yang paling penting kita perlu beristiqamah dalam melakukannya.

Bahagi Masa

Sediakan jadual harian dengan melibatkan aktiviti membaca dan menulis. Contohnya, setiap hari luangkan masa selama satu jam untuk membaca dan satu jam untuk menulis atau seminggu untuk membaca dan seminggu untuk menulis. Ikut pada kesesuaian diri masing-masing. Apabila sudah banyak membaca, sudah tentu banyak buah fikiran yang ingin kita luahkan di dalam bentuk tulisan. Ditambah lagi, pada zaman berteknologi moden ini, terdapat banyak medium berkaitan penulisan yang disediakan secara percuma untuk dijadikan wadah mengeluarkan idea dan menunjukkan bakat penulisan.

Cabar Diri

Membaca juga perlu ada 'Dateline'. Cabar diri untuk menetapkan masa dalam menyudahkan apa-apa bacaan buku. Sama ada buku jenis ilmiah, tarbiah, pencerahan, sastera, sejarah, novel dan lain-lain. Jika kita berhemah dalam menetap dan membahagikan masa, tentu sahaja kita dapat membaca banyak buku dan mengulangi semula buku-buku yang telah dibaca dan ianya akan memantapkan lagi pengetahuan dan ingatan terhadap kandungan buku yang kita baca itu.

Pelbagaikan Genre Bacaan

Untuk menjadikan kita terus beristiqamah di dalam membaca, wajarlah jika kita mempelbagaikan genre atau jenis bacaan. Usah membaca sebuah genre sahaja kerana ini akan menyebabkan kita merasa cepat jemu untuk melanjutkan pembacaan pada buku seterusnya. Seimbangkan dan maksimumkan penggunaan otak kiri dan otak kanan dengan menukar genre bacaan supaya minda tidak mudah letih lalu menjadi jemu. Dengan itu, ianya boleh menjadikan kita terus beristiqamah dalam membaca dan menuntut ilmu.

Sediakan Mini Pustaka

Sediakan ruang membaca yang memuatkan mini perpustakaan di rumah. Susun buku-buku yang menjadi koleksi peribadi kita sekeluarga. Jadikan ruang bacaan itu sebagai tempat yang menenangkan fikiran dan apabila perasaan malas membaca bertamu, pandanglah susunan buku-buku itu dan berusaha membelek buku-buku tersebut dengan tujuan untuk memperkemas susun atur buku-buku tersebut. InsyaAllah, hati kita akan terbuka untuk menyelak helaian-helaian buku pada tajuk-tajuk yang menarik dan membacanya semula.

Sentiasa Membawa Buku 

Lazimkan membawa buku ke mana-mana sahaja. Dengan cara itu, kita boleh membaca buku apabila ada masa terluang. Lagi pula, berpindah tempat dan suasana untuk membaca akan mendatangkan pengalaman baru yang menyeronokkan. Bagi pencinta buku, mereka sudah mengenalpasti tempat-tempat yang menjadi kesukaan mereka untuk membaca dan bersunyi-sunyian dengan buku yang mereka sayangi.

Jadikan Diri Ensiklopedia

Cara mudah untuk mengingat apa yang dibaca ialah dengan menyampaikannya melalui tulisan atau perbincangan. Biasakan mengeluar pandangan tentang perkara yang telah kita baca. Tawarkan diri untuk berkongsi ilmu yang kita tahu dan niatkan segala pemberian ilmu itu sebagai amal jariah dan untuk mendapat keredhaan Allah swt. Jadikan persada blog, twitter dan facebook sebagai medium untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang telah kita dapat hasil dari pembacaan.

Lawan Perasaan Jemu 

Untuk melawan perasaan jemu terhadap buku dan membaca, jadikan buku sebagai sahabat sejati. Sahabat yang paling baik dan tidak akan melukakan hati. Malah, dengan bersahabat dengannya kita mendapat banyak manfaat. Manfaat dari segi masa, pengalaman dan pengetahuan. Apabila kita menganggap buku adalah sahabat dan membaca adalah cara mengenalnya, maka perasaan jemu terhadap aktiviti membaca tidak akan pernah wujud di dalam diri kita.





MENYUBUR MINAT MEMBACA



Mengikut perangkaan Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara yang lainnya. Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ini merupakan satu kejayaan dan kebanggaan kepada Malaysia. Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku tempatan dalam memupuk dan menyubur minat membaca yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Disamping itu, ia akan menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.

Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang telah berlangsung baru-baru ini, cuba kita perhatikan betapa ramai pengunjung yang terdiri dari peminat dan pencinta buku telah turun membanjiri pesta buku tersebut. Penerbit dan pekedai buku hadir lebih awal untuk mengambil bahagian bagi memasarkan buku masing-masing. Mereka bertungkus lumus sepanjang berlangsungnya acara pesta buku ini. Para penulis juga tidak ketinggalan hadir untuk bertemu peminat-peminat karya mereka sambil mempromosikan buku-buku terbaru mereka. Fenomena ini menampakkan yang industri perbukuan di negara kita semakin pesat berkembang dan mendapat sambutan dari masyarakat awam.

Masyarakat Malaysia umumnya sudah semakin sedar akan kepentingan membaca. Sikap cintakan membaca sudah mula tersemai dan berputik seawal sekolah rendah. Namun begitu, kita perlu menyuburkan lagi sikap suka membaca itu kerana jika tidak dipupuk dan ditiup dengan kobaran semangat, dibimbangi perasaan atau sikap cintakan membaca itu semakin malap lalu terpadam. Kita tidak mahu benih membaca yang baru disemai dan bertunas kecil itu terbantut pembesarannya. Di bawah ini disertakan beberapa tip untuk menyubur dan memotivasikan minat membaca di dalam diri:

Fahami Surah Al-Alaq

Sebagai umat Islam, kita sewajarnya lebih mengetahui dan mengambil manfaat dari perintah Allah swt menerusi surah Al-Alaq. Ayat pertama dari surah itu ialah 'Iqra' yang bermaksud 'Bacalah'. Ramai diantara kita yang membaca kitab al-Quran tanpa bersungguh-sungguh memahami makna dan pengajaran disebalik tafsiran ayat-ayat suci itu. Kita sering terlepas pandang dan malas mengkaji akan hikmah dan kepentingan yang tersurat di dalam kalam Allah swt itu. Kita biarkan orang-orang kafir mengkaji dan mencuri ilmu yang terdapat di dalam kitab suci kita. Lalu mereka mempraktikkan segala ilmu itu dan mengunggulinya. Sedangkan umat Islam, masih ketinggalan dalam pelbagai bidang dan tanpa rasa bersalah membiarkan sahaja orang-orang kafir merampas dan mempraktikkan hikmah-hikmah yang terdapat di dalam kitab Allah swt itu. Oleh itu, mulai sekarang, marilah kita terap dan suburkan budaya IQRA di dalam diri dan keluarga kita.

Sediakan Masa Untuk Membaca

Setiap hari sediakan masa sekurang-kurangnya satu hingga dua jam untuk membaca. Ramai dikalangan masyarakat kita yang menjadikan membaca hanya sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang sahaja. Disebabkan itu mereka lebih gemar membaca jenis bacaan ringan seperti majalah dan tabloid hiburan dengan alasan tidak mahu memberatkan fikiran tanpa mereka sedari yang mereka telah mensia-siakan waktu yang ada. Sedangkan kita sepatutnya menyediakan masa yang tetap untuk membaca kitab-kitab tertentu dan buku-buku ilmiah lainnya. Sediakan jadual pembacaan dan bahagikan masa mengikut genre bacaan buku tersebut. Kitab atau buku yang memerlukan pemahaman yang tinggi perlu dibaca setiap hari dan tidak perlu tergesa-gesa untuk menyudahkannya. Biarlah sedikit pembacaan tetapi kerap dibaca dan yang penting, kita memahami apa yang kita baca lalu mendapat ilmu daripadanya. Untuk bacaan buku-buku ringan seperti genre novel pengisian, motivasi, panduan dan sebagainya kita boleh 'mencuri' membacanya pada masa terluang. Ingat!, membaca bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang tetapi membaca adalah satu keperluan untuk mengecas minda supaya terus menjadi manusia yang berilmu dan maju.

Selalu Menziarahi Penempatan Buku

Biasakan diri dan keluarga untuk selalu berziarah ke perpustakaan, kedai-kedai buku, pesta-pesta buku, ekspo-ekspo buku dan pamiran-pamiran buku. Jadikan acara ini sebagai aktiviti mingguan yang wajib ditunaikan setiap minggu. Apabila sentiasa berada berdekatan timbunan buku, secara tidak langsung ianya akan menjadi terapi bagi minda kita, khususnya pada pencinta-pencinta buku yang sangat gemar menghidu keharuman bau helaian-helaian kertas pada buku-buku baru. Setiap bulan, peruntukkan sejumlah wang dari hasil gajian untuk membeli buku-buku yang diidamkan. Jangan lupa menabung wang untuk pembelian buku di pesta atau pamiran buku yang akan berlangsung dimasa akan datang kerana pada masa itu kita berkesempatan untuk mendapat diskaun tinggi bagi setiap pembelian buku-buku. Di perpustakaan awam yang banyak terdapat di Malaysia ini, kita boleh menjadi ahli dengan hanya membayar yuran tahunan dan meminjam buku-buku yang ada di sana dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Walaupun ramai yang mengeluh kerana mereka selalu dihidangkan dengan buku-buku lama, namun itu tidak bermakna yang buku-buku lama tersebut masih tidak relevan untuk dibaca. Malah, dengan membacanya kita dapat mempelajari atau menyingkap cara berfikir penulis pada zaman itu dan ianya merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

Koleksi Tentang Buku & Baca

Setiap manusia pasti mempunyai hobi memiliki koleksi peribadi. Untuk memupuk minat suka membaca, kita haruslah mempunyai koleksi buku-buku yang menceritakan tentang baca, buku dan pencinta buku. Di Malaysia, terbitan buku-buku yang memaparkan tentang dunia perbukuan dan pembacaan amat kurang. Namun begitu, kita boleh memperolehi buku-buku genre ini dari para penerbit buku barat. Tetapi, pastikan terbitan buku genre ini keluaran tempatan telah kita miliki terlebih dahulu. Apabila membaca buku-buku seperti ini, ia bisa menyemarakkan perasaan cintakan buku agar kita rajin membaca. Di era zaman teknologi ini, buku-buku terbitan asing yang bergenre seperti ini mudah ditemui asalkan kita rajin mencari maklumatnya di internit. Selain itu, artikel-artikel tentang baca dan buku juga banyak terdapat di blog-blog para pencinta buku. Bacalah dan jadikan blog-blog seperti ini sebagai pemangkin semangat untuk kita rajin membaca dan beristiqamah dengannya. Disamping itu, jangan lupa untuk memuat turun gambar-gambar tentang gelagat pencinta buku bersama buku-buku koleksi peribadi mereka, gambar-gambar longgokan buku di kedai-kedai buku dan sebagainya. Jadikan gambar-gambar ini sebagai booster untuk kita terus bangkit dan maju dalam mempelopori dunia membaca.

Ikon

Jadikan para ulama, tokoh cendekiawan dan sasterawan sebagai role model untuk memberi inspirasi kepada kita. Mereka merupakan pencinta ilmu dan sangat ketat dalam menjaga masa. Manusia yang berilmu adalah manusia yang banyak membaca, mengkaji, menulis dan mengaplikasikan ilmu mereka itu di dalam kehidupan. Wajar untuk menjadikan mereka sebagai ikon dan bacalah karya-karya mereka kerana dengan membaca karya ilmuan-ilmuan ini, ianya sama seperti kita sedang menadah kitab dihadapan mereka untuk menyelami cara berfikir mereka. 







MENYEMAI BENIH MEMBACA



Ayat al-Quran pertama yang Allah swt turunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibril as ialah Iqra. Iqra bermaksud ‘Bacalah’. Seruan untuk membaca merupakan arahan langsung dari Allah swt. Umat Islam perlu menjadikan aktiviti membaca ini sebagai satu keperluan dalam hidup. Membaca bukan sekadar dijadikan hobi tetapi ianya merupakan aktiviti wajib yang perlu dilakukan setiap hari kerana dengan membaca umat Islam akan menjadi cerdik, maju, berjaya, disegani dan dijadikan sebagai contoh terbaik kepada orang-orang kafir. Bertepatan dengan kata-kata 'kaum yang membaca adalah kaum yang maju kerana membaca bisa menghadang manusia dari kebodohan', wajar untuk kita semai dan terap budaya cinta membaca di dalam diri dan keluarga kita. 

Sikap suka membaca perlu disemai seawal janin di dalam kandungan ibu lagi. Ibu yang sedang mengandung wajar mengetahui dan belajar tentang psikologi bayi yang ada di dalam kandungan mereka kerana pembawaan sikap dan segala aktiviti ibu semasa mengandung sangat mempengaruhi bayi yang sedang membesar di dalam kandungan. Ibu mengandung disarankan memperbanyak membaca ayat-ayat suci al-Quran dan membaca buku-buku sirah. Selain itu, buku-buku yang berkaitan keibubapaan dan kesihatan juga perlu dijadikan pilihan kerana genre bacaan ini akan memantapkan ilmu pengetahuan bagi persediaan sebelum melahirkan bayi. 

Elakkan dari membaca buku-buku yang kosong pengisian dan hanya membuang masa sahaja. Novel-novel cinta khayalan yang tidak kesampaian akan memberi kesan sedih kepada si ibu lalu dikhuatiri emosi sedih itu akan mempengaruhi bayi dalam kandungan dan kesannya, bayi tersebut akan membesar menjadi kanak-kanak yang sensitif dan cengeng. Pilih buku-buku yang baik dan berunsur motivasi yang boleh menaikkan semangat diri untuk meneguhkan jati diri bayi yang dikandung. 

Setelah bayi lahir dan diawal pembesaran mereka, biasakan membawa mereka ke kedai-kedai buku dan perpustakaan. Dedahkan mereka untuk melihat buku-buku yang berwarna warni dengan ilustrasi yang bersize besar. Suasana dan aktiviti ini akan mempengaruhi memori kanak-kanak untuk cepat mengingat perkara-perkara baik yang telah didedahkan kepada mereka semenjak kecil. Oleh itu, secara tidak langsung, aktiviti membaca yang sihat ini telah disemai secara perlahan dan alami tanpa ada unsur-unsur paksaan. Sesungguhnya anak-anak yang lahir ibarat kain putih. Maka, tugas ibubapa adalah mencorak anak-anak itu mengikut acuan, landasan dan panduan yang telah ditetapkan al-Quran dan sunnah. 

Pendedahan awal akan betapa pentingnya membaca ini lebih berkesan jika ibubapa sendiri sedar akan peri pentingnya perintah Allah swt yang termaktub di dalam surah Al-A'laq ini. Ibubapa dinasihatkan agar selalu membelikan atau menghadiahkan anak-anak dengan buku terutama buku-buku yang mengisahkan sirah Nabi dan Rasul agar anak-anak lebih mengenali diri dan asal usul mereka. Dengan cara ini, sedikit sebanyak boleh memantapkan lagi jati diri mereka dalam mengharungi perjalanan usia yang semakin membesar dan menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai role model yang perlu dicintai dan dicontohi. 

Genre pembacaan akan bertukar matang seiring dengan peningkatan usia kanak-kanak itu. Semasa bayi berumur bawah 2 tahun, bacaan yang sesuai adalah buku-buku berhelaian tebal, mempunyai imej bergambar warna-warni dan mempunyai tulisan bersize besar sama ada huruf jawi atau pun rumi. Kanak-kanak perlu diajar membaca al-Quran seawal mungkin dengan mendedahkan mereka dengan surah-surah pendek yang lazim dibaca di dalam solat. Jangan lupa untuk mengajar mereka dengan pelbagai doa yang terdiri dari sunnah-sunnah Nabi saw. Pada usia ini kanak-kanak lebih mudah untuk mengingat segala yang diajar. Oleh itu, ibubapa perlu merebut peluang ini untuk mengisi minda anak-anak dengan ilmu dan pengajaran yang baik mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, ada diantara kita yang baru menyedari betapa pentingnya membaca setelah mula mendapat pendedahan guru-guru semasa di sekolah dan ada pula yang baru menyedari peri pentingnya membaca setelah umur sudah meningkat lanjut. Sebenarnya, perkara ini tidak menjadi masalah dan masih belum terlambat untuk kita menyemai benih minat membaca dan berusaha untuk mendidik diri mencintai membaca yang merupakan 
perintah Allah swt. Selagi umur masih dikandung badan, selagi itulah ruang dan peluang masih terhampar luas untuk kita berjihad mencari ilmu melalui pembacaan. Paling penting, kita perlu beristiqamah dengan apa yang kita lakukan. Untuk mencintai aktiviti membaca ini, kita perlukan usaha dan keazaman yang sangat tinggi supaya tidak bersikap 'hangat-hangat tahi ayam'. 

Kita perlu mengenal pasti waktu perdana iaitu waktu terbaik dimana ketika itu fikiran kita segar dan boleh membaca dengan berkesan. Apabila kita dapat membaca dengan berkesan, segala maklumat yang terdapat di dalam buku yang kita baca itu akan terpahat atau tersalin kukuh di minda dan kita boleh memanfaatkan apa saja yang kita baca itu dengan mengimbas memori yang tersimpan di dalam kotak minda apabila diperlukan kelak. Lebih baik, jika segala pembacaan yang tercerna di minda, kita jalinkan menjadi idea lalu dilontarkan menjadi tulisan dan disebarkan untuk bacaan umum. Apatah lagi sekarang ini terdapat banyak medium untuk memudahkan kita menyalurkan perkongsian idea dan ilmu untuk manfaat sesama ummah.

Ungkapan 'Anda adalah apa yang anda baca' sangat benar dan mendalam maksudnya. Sebagai umat Islam, kita disarankan untuk memenuhi masa dengan pembacaan yang baik demi untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Oleh itu, wajarlah kita untuk mendahulukan membaca kitab suci al-Quran berserta kitab tafsirnya supaya kita lebih memahami maksudnya. Kemudian dituruti dengan kitab-kitab Hadis berserta kitab syarahnya. Diikuti pula dengan bacaan kitab-kitab Fikah, Fatwa, Tasawuf, Akidah, Sirah & Sejarah, kitab-kitab karya para sahabat, ulama dan tokoh, dakwah, pencerahan, motivasi, panduan, sastera dan novel-novel yang mempunyai pengisian. 

Dengan membaca dan mendahulukan bacaan kitab-kitab yang penting dan utama ini, kita telah memenuhi masa dengan sesuatu yang bermanfaat demi untuk mendapat keredhaan Allah swt. Selain itu, dengan  melazimi membaca kitab-kitab karangan para ulama, kita akan merasa dekat dengan mereka dan dapat menceduk ilmu-ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab itu dan akhirnya ilmu-ilmu yang baik itu boleh digunakan untuk diri kita sendiri lalu disebarkan kepada keluarga dan sesiapa sahaja yang berada disekeliling kita.